Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

PR gesa Kerajaan Pusat batal perlindungan syarikat monopoli pasaran gula

Tony Pua Wancara 01

KUALA LUMPUR 30 OKT : Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan Pusat membatalkan sistem perolehan gula mentah dan perlindungan kepada syarikat yang memonopoli pasaran gula di negara ini sehingga menyebabkan harganya lebih mahal.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, berkata tindakan pembatalan itu akan membolehkan kerajaan menawarkan harga gula lebih rendah kepada rakyat selepas membuka pasaran melibatkan syarikat gula dalam negara.

Katanya, dengan penghapusan monopoli itu, rakyat akan menikmati harga gula yang lebih rendah dan syarikat gula akan menjadi lebih efisyen kerana tidak perlu bergantung kepada bantuan kerajaan.

“Pakatan Rakyat berpendapat monopoli syarikat gula tidak memberikan sebarang manfaat kepada rakyat.

“Adalah lebih baik jika pasaran gula dibuka dan harga gula dapat ditentukan melalui persaingan antara syarikat dan pembekal gula,” kata Tony Pua dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini.

Tony Pua berkata, kaedah mengimport gula mentah daripada syarikat luar adalah hanya helah untuk mendapatkan kos yang lebih rendah sehingga membolehkan syarikat terlibat mendapat keuntungan lumayan.

“Kalau katakan harga gula ditetapkan oleh kerajaan tidak sepatutnya mereka meningkatkan keuntungan mereka (syarikat-syarikat) dengan begitu banyak.

“Kita syak cara kerajaan mengimport gula mentah adalah untuk membolehkan syarikat ini untuk mendapat keuntungan yang lebih,” katanya.

Semalam, Tony Pua mendedahkan kenaikan harga gula bukanlah atas dasar pemotongan subsidi sebaliknya berpunca daripada tindakan Kerajaan Pusat yang menandatangani perjanjian gula mentah dengan harga tinggi.

Pada Januari 2012, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US25 setiap 100lbs.

Ekoran itu rakyat terpaksa menikmati gula yang lebih mahal akibat perjanjian yang dimeterai KPDNKK tahun lalu.

-EZY


Pengarang :