Selangorkini
NASIONAL

PR kenal pasti punca kenaikan harga gula

tony-pua

KUALA LUMPUR 29 OKT : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa harga gula melonjak naik disebabkan tindakan kerajaan pusat menandatangani perjanjian beli gula mentah dengan harga terlalu tinggi dan bukan kerana penghapusan subsidi.

Tony mendakwa Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Penggunaan dan Koperasi, Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan menandatangani perjanjian tiga tahun untuk mengimport gula mentah dengan harga US25 setiap 100lbs, pada Januari 2012.

Katanya, ekoran perjanjian itu rakyat terpaksa menikmati gula yang lebih mahal dan mendakwa mengkritik kerajaan ketika perjanjian itu dimeterai ekoran pembelian gula mentah dengan harga yang lebih mahal daripada harga pasaran iaitu US23.42.

“Harga gula ketika ini US18.91 setiap 100lbs yang membolehkan kerajaan tidak perlu menanggung sebarang subsidi dan harga gula menjadi lebih murah daripada RM2.84 sekilogram yang ditetapkan.

“Barisan Nasional (BN) menggunakan pelbagai helah sebagai alasan untuk menghapuskan baki subsidi RM521 juta setahun. Alasannya, dengan mengaitkan kematian mantan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak akibat diabeties, termasuk nasihat dengan mengurangkan gula dapat meningkatkan libido, tetapi rakyat yang terpaksa membayar mahal,” katanya di Parlimen, di sini, hari ini.

Tony berkata, perbezaan harga kontrak melebihi 10 peratus daripada harga pasaran menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM64 juta setiap tahun.

“Ketika itu, saya sudah memberi amaran kepada kerajaan bahawa semua laporan penganalisis antarabangsa meramalkan harga gula akan menurun akibat ‘excessive supply’. Tetapi, tidak dihiraukan dan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Datuk Mukhriz Mahathir menjawab harga gula mentah dunia diramal terus meningkat pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan membeli gula dengan 55.7 peratus lebih mahal daripada harga pasaran, bulan ini kerana harga gula antarabangsa menjunam sehingga serendah US16.70 setiap 100lbs, pada September 2013.

“Walaupun harga gula mentah meningkat sedikit bulan ini pada kadar US18.91, namun ia masih jauh lebih murah daripada harga yang diimport kerajaan. Kerajaan terlebih bayar RM194 juta atau pengimportan 2.37 bilion paun gula mentah setiap tahun dan perlu bertanggungjawab kerana membuat keputusan tidak wajar serta menyusahkan rakyat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :