Selangorkini
SELANGOR

Selangor cadang beberapa nama untuk jadi Senator OKU

rodziah-ismail okuSHAH ALAM 10 OKT: Kerajaan Selangor akan mencadangkan nama beberapa individu profesional dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang layak untuk dilantik sebagai Senator Dewan Negara.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, ia selaras dengan kehendak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang mencadangkan beberapa nama untuk membawa suara golongan OKU ke Dewan Negara.

“Saya harap kementerian ambil kira pandangan rakyat Selangor kerana walaupun 10 peratus penduduk negara ini OKU, sejumlah besar datang dari Selangor,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selasa lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan bersetuju melantik seorang Senator Dewan Negara daripada kalangan OKU.

Rodziah berkata, pelantikan Senator OKU wajar dan dinanti-nantikan sejak terhenti pada 2009 dan ia diterima sebagai usaha legislatif ke arah mengarus perdana golongan berkenaan.

Beliau berkata, ia membantu memberdayakan golongan OKU berikutan Ahli Dewan Negara di kalangan mereka dapat mengetengahkan sensitiviti dan isu dengan lebih berkesan.

Katanya, Senator OKU wajar disediakan kemudahan setimpal supaya boleh memainkan peranan dengan berkesan selain diberi peruntukan kakitangan mencukupi dan kenderaan sesuai.

“Isu pembelaan OKU selama ini hanya dalam kerangka memberi elaun saraan atau seumpamanya. Tentunya belum memadai untuk menjamin masa depan mereka.

“Walaupun ada peraturan dan akta yang menjaga kepentingan OKU, pelaksanaan dan penguatkuasaannya jauh dari memuaskan,” katanya.

Allahyarham Senator Datuk Dr Ismail Md Salleh, seorang pakar ekonomi lulusan Doktor Falsafah (PhD) yang cacat penglihatan adalah Senator Dewan Negara pertama yang dilantik dari kalangan OKU.

Beliau dilantik pada 18 Disember 2007 ketika pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan meninggal dunia pada 27 Ogos 2009

– FZL


Pengarang :