Selangorkini
SELANGOR

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa bencana Cameron Highland

Cameron-highland-Banjir-3SHAH ALAM 24 OKT: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Exco Kebajikan Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung mangsa kerana kemusnahan harta benda yang dialami dalam kejadian banjir kilat, awal pagi semalam.

“Kerajaan dan rakyat Selangor ingin merakamkan rasa empati terhadap semua mangsa sama ada yang meninggal dunia atau masih hidup, keluarga dan waris mereka. Semoga Tuhan memberi ketabahan dan kesabaran kepada mereka untuk melalui dan bangkit daripada musibah yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil iktibar dengan mematuhi langkah keselamatan dengan memberi keutamaan terhadap menyelamatkan nyawa manusia.

“Kematian tiga orang akibat banjir kilat yang melanda Bertam Valley itu amat menyedihkan. Prosuder dan langkah keselamatan dan menyelamat nyawa wajar diberi keutamaan mengatasi perkara lain.

“Penduduk sekitar yang terkejut dan terperangkap kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri perlu dijadikan iktibar supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

-NFN-


Pengarang :