NASIONAL SELANGOR

Status pembinaan SJKT Ladang Castlefield akan dibincang dalam mesyuarat MTES

MB SUK grey

SHAH ALAM 28 OKT : Kontroversi berhubung status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Castlefield, Puchong, di lokasi baru akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), selewat-lewatnya minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan melalui MTES bertujuan untuk merekodkan sebarang keputusan dan persetujuan yang akan dilakukan bagi menyelesaikan masalah ini.

“Kami akan bincang dalam mesyuarat MTES sama ada minggu ini atau minggu depan kerana mahu Kementerian Pendidikan dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (PRASARANA) untuk mendapat ketetapan mereka.

“Itu sebab kita adakan perjumpaan di MTES supaya ada rekod persetujuan yang kita lakukan,” katanya sebagai respon kepada pendirian Kerajaan Negeri berhubung perkara itu di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, sebelum ini mendesak Abdul Khalid untuk memberi jawapan segera berhubung pendirian kerajaan negeri sama ada bersetuju atau tidak dengan pembinaan SJKT Ladang Castlefield di lokasi baru.

Difahamkan, tanah di lokasi baru itu diperuntukkan kerajaan negeri selepas timbul bantahan apabila sebahagian padang sekolah di tapak lama diambil bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan jajaran transit aliran ringan (LRT).

Gobind berkata, perkara berkenaan perlu segera dipertimbangkan kerana akan timbul masalah lain termasuk menjejaskan kerja pembinaan LRT sekiranya persetujuan kerajaan negeri lewat diperoleh.

Kerajaan Negeri sebelum ini memutuskan memperuntukkan tanah seluas 1.6 hektar di Taman Wawasan untuk memindahkan sekolah berkenaan.

-NFN-


Pengarang :