Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

Tiada perubahan jawatan MB Selangor, Khalid Ibrahim kekal – Anwar

Anwar-MB-2

KUALA LUMPUR 28 OKT: Tiada perebutan jawatan Menteri Besar Selangor berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus kekal mengetuai kepimpinan kerajaan negeri itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada sidang media hari ini, Ketua Pembangkang itu juga menafikan berlaku perebutan jawatan antara Abdul Khalid dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Sebagai Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau yang sebelum ini memberi pandangan mengenai prestasi pentadbiran kerajaan Selangor, mengetahui hal berkenaan jika dakwaan itu benar.

“Azmin kalau beliau mahu ambil alih, mesti saya tahu. Tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya di lobi Parlimen.

Anwar sebelum ini memberi pandangan terhadap prestasi pentadbiran dan perkembangan ekonomi kerajaan Selangor dan Pulau Pinang tetapi kenyataannya disalah tafsir sesetengah pihak.

Mengikut laporan media tempatan, wujud desas-desus menyatakan Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor bakal mengantikan Abdul Khalid atas alasan ‘kedekut’.

Sebaliknya, Azmin ketika ditemui di perkarangan Parlimen, berkata tiada kemelut berlaku antaranya dengan Abdul Khalid.

“Tidak ada kemelut dan tidak ada usaha menukar Menteri Besar. Saya bersetuju dengan Anwar, malah usaha kerja itu cukup baik bagi kepentingan negeri,” katanya.

Beliau sudah menyampaikan hasratnya ketika bertemu Abdul Khalid selama hampir empat jam tempoh hari bagi menggesa supaya peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Selangor lebih dimanfaat,

“Kita membincangkan soal pembangunan negeri berdasarkan memorandum yang dihantar baru-baru ini. Perjalanan perbincangan cukup baik,” katanya bercadang bertemu Abdul Khalid lagi, esok.

– FZL


Pengarang :