Selangorkini
NASIONAL

Tiada sebab ganti MB Selangor, Azmin temui Khalid esok

azmin-pc-DNS-01KUALA LUMPUR 28 OKT : Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada sebab Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor mahu menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari meneruskan jawatannya bagi penggal kedua.

Dipetik Malaysia Kini, beliau yang juga Pengerusi BBC tidak faham mengapa isu itu dibangkitkan semula seperti yang dilaporkan media akhir-akhir ini.

“Tiada sebab bagi kami (BBC) nak tukar Tan Sri Khalid. Saya tahu kamu mahu mendengar jawapan ini… Tidak ada sebab (nak tukar beliau),” katanya sambil ketawa kecil kepada pemberita di parlimen.

Beliau berkata, tugas BBC negeri iaalah memberi idea baru berhubung langkah memajukan negeri itu dan membantu Khalid mengenal pasti serta menguruskan projek dan pembangunan.

“Kenapa isu ini dibangkitkan, kenapa kami tidak boleh beri pandangan? Dan bila dapat memo (BBC) dianggap sebagai kuasa pendesak? Kami bukan kumpulan pendesak, itu bukan tugas kami.

“Tugas kami untuk memberi idea dan membantu kerajaan dan menteri besar, untuk mengimplimentasi projek di bawah. Itu yang kita cadangkan. Dalam memorandum tidak ada (berkaitan) perkara peribadi, semua isu pembangunan,” katanya.

Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa juga akan bertemu dengan Abdul Khalid petang esok, bagi membincangkan ‘perkara-perkara berbangkit dan juga tidak semestinya berkaitan memorandum BBC’ itu.

Semalam, Khalid dilapor menolak desas-desus bahawa jawatan yang disandangnya sejak 2008 bakal diambil alih oleh Azmin dan beliau menyifatkan desas-desus itu sebagai ‘asam garam dalam dunia politik’.


Pengarang :