Selangorkini
SELANGOR

Transformasi PJ melalui Belanjawan 2014

alinah okuPETALING JAYA, 8 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi fokus kepada lima sektor pembangunan utama dalam pelan bajet tahunannya selaras dengan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai bandar lestari (PJ Lestari) pada 2014.

Pelan pembangunan yang dipersetujui melalui bengkel ‘PJ Livable City Strategic Plan 2030’ pada September lalu itu merujuk kepada prasarana lestari, persekitaran mesra alam, pengurusan trafik, gaya hidup lestari dan memperkasakan organisasi dengan anggaran kos melebihi RM150 juta.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, di bawah prasarana lestari, Majlis akan menumpukan kepada pembangunan sistem infrastruktur hijau, menyelenggara jalan raya serta menaiktaraf sistem saliran dan perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.

“Di bawah sektor ini, MBPJ juga akan menyediakan kemudahan pejalan kaki, siar kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU) dan laluan sikal mesra alam serta menyelenggara beberapa kemudahan awam lain seperti lampu jalan,” katanya dalam ucapan pembentangan Bajet MBPJ 2014 di Dewan Bunga Tanjung, semalam.

Di bawah fokus persekitaran mesra alam, MBPJ akan melaksanakan pelan induk landskap menerusi program Landskap dan Pengindahan serta Program Pembangunan Koridor Hijau sebagai langkah menjadikan Petaling Jaya sebagai bandaraya dalam taman.

Tidak ketinggalan katanya, MBPJ turut mempertingkatkan kualiti kerja pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal dengan menambah bilangan kakitangan dan membeli peralatan tambahan bagi mencapai sasaran 30 peratus kerja pembersihan awam.

“Bagi menyokong program menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berkarbon rendah juga, pihak Majlis akan melanjutkan program insentif meletak kenderaan secara percuma bagi pembelian kereta hybrid dari enam bulan kepada satu tahun,” katanya.

Beliau berkata, fokus pembangunan pengurusan trafik pula merujuk kepada usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

MBPJ menjalin kerjasama strategik bersama PRASARANA dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mewujudkan perkhidmatan bas, hub terminal dan perkhidmatan bas perantara di kawasan pusat bandar. Bilangan tempat petak parkir akan dikurangkan dan kadar caj parkir dinaikkan bagi mengurangkan kenderaan persendirian dalam bandar.

MBPJ mensasarkan 60% penggunaan pengangkutan awam dan 40% kenderaan persendirian di Pusat Bandar menjelang tahun 2030.

Katanya, di bawah aspek sama, MBPJ turut berhasrat mengadakan sistem kawalan trafik bersepadu dan pemantauan berpusat bagi lampu isyarat di kawasan Petaling Jaya.

“Bagi kawasan baru yang sedang dibangunkan pula, Majlis telah mensyaratkan pemaju supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat dan lampu jalan untuk diserahkan kepada MBPJ dan dipantau oleh pusat kawalan trafik tersebut,” katanya.

Gaya hidup lestari pula merujuk kepada peningkatan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi ‘hot spot’ bagi mengurangkan indeks jenayah.

MBPJ akan meneruskan Program Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi meronda kawasan komuniti masing-masing, dan penubuhan Unit Polis Bantuan di Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan bagi menjalankan kerja-kerja rondaan keselamatan bersama pihak polis.

Sementara itu, dibawah pelan pemerkasaan organisasi, struktur pentadbiran akan disusun semula dengan membentuk 5 jabatan sahaja (daripada 10 jabatan sedia-ada) mengikut aktiviti utama, iaitu Perancang Bandar, Rekabentuk Bandar, Pembangunan Perkhidmatan & Komuniti, Perniagaan Bandar dan Perniagaan Korporat.

Serentak dengan itu, Unit Integriti diketuai oleh pegawai yang dipinjamkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan ditubuh dan menganggotai Mesyuarat-Mesyuarat Jawatankuasa, Lembaga Tender dan Sebutharga serta Jawatankuasa Audit dan Tadbir Urus.

Pengurusan perlesenan juga ditambahbaik melalui kaedah kawal selia diri, antaranya dengan memperkenalkan Quick Response Code (QR Code) yang dilekatkan pada premis perniagaan dan kad pekerja. QR ini memaparkan maklumat pemegang lesen, aktiviti lesen serta tempoh sah lesen dan boleh diakses melalui telefon berinternet.

“Diharap perlaksanaan ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, mengurangkan aduan rakyat dan melaksanakan projek dengan lebih efisyen dan efektif,” kata Alinah.

Belanjawan MBPJ yang dicadangkan bagi tahun 2014 adalah RM305 juta (anggaran Hasil), manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM 278 juta sementara anggaran perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM46.55 juta.


Pengarang :