Selangorkini
NASIONAL

Umno dan Najib gagal laksana transformasi

umno-kekal

SHAH ALAM 20 OKTOBER : Pengekalan status quo bagi tiga penyandang Naib Presiden Umno membuktikan bahawa parti itu gagal melaksanakan transformasi seperti yang diuar-uarkan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata pengekalan itu bermakna Umno-BN menolak sebarang perubahan dan secara jelas, rakyat tidak dapat mengharapkan sebarang dasar baru yang akan dilakukan Umno-BN.

Seperti diramal, Menteri Dalam Negeri Datuk  Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berjaya mengekalkan jawatan mereka dalam parti politik terbabit.

Tian Chua berkata, pengekalan itu juga membuktikan parti itu akan secara terus mengamalkan budaya rasuah yang ketika ini membimbangkan.

“Ini akan mengekalkan kegiatan rasuah berterusan. Rasuah kekal rasuah, curi lembu kekal curi lembu dan kaki pukul kekal kaki pukul.

“Pilihan Umno tetap sama, Umno tidak mahu berubah sebenarnya, oleh itu mereka masih kekal sama mahu teruskan cara hidup dan kepimpinan yang sama,” katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Selain itu, Tian Chua menyifatkan kekalahan Datuk Mukhriz Tun Mahathir dalam merebut jawatan Naib Presiden menyebabkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad akan hilang pengaruhnya dalam kepimpinan Umno.

“Secara implikasinya, beliau (Mahathir) akan hilang pengaruh. Boleh dikatakan beliau sudah ditewaskan dan beliau akan berundur dari pentas politik Umno, beliau tidak lagi berpengaruh utama dalam penentu arah tuju,” katanya.

Dalam pemilihan bagi jawatan itu, Ahmad Zahid mendapat 173 undi, Mohd Shafie 160 undi dan Hishammuddin 96 undi.

Manakala Datuk Mukhriz Tun Mahathir, yang memberi saingan hebat dalam pertandingan itu memperolehi 83 undi.

Dua lagi calon, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat lapan dan tujuh undi masing-masing.

Keputusan itu menyerupai pertandingan jawatan Ketua Pemuda dan Wanita Umno Sabtu lalu di mana penyandang Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengekalkan jawatan masing-masing.

Sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menang tanpa bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno.


Pengarang :