SELANGOR

45 pengantin bakal dirai di Majlis Perkahwinan Perdana

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 22 NOV : Seramai 45 pasangan pengantin bakal diraikan oleh Kerajaan Negeri dalam Majlis Perkahwinan Perdana Belia 2013 yang bertempat di Stadium Melawati Shah Alam pada 30 November ini.

pc agrofest dan pc belia perkahwinan - 2Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program berkenaan dianjurkan kerana Kerajaan Negeri dalam usaha membantu meringankan beban di kalangan belia dan beliawanis negeri ini yang ingin berkahwin.

Katanya, program berkenaan diilhamkan bagi memberi memberi peluang kepada belia-belia yang kurang berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga dan mengadakan majlis kenduri secara perdana dengan mengekalkan budaya dan adat istiadat kemelayuan yang dibenarkan syarak.

“Seramai 40 pasangan Melayu, empat pasangan berbangsa India serta satu pasangan berbangsa Cina daripada 23 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor bakal diraikan dalam majlis ini,” katanya ketika sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

Katanya, program ini adalah kesinambungan daripada program seumpamanya yang sudah berjaya dilaksanakan sejak tahun 2011 di Selangor.

“Program ini juga merupakan salah satu daripada siri Kempen Anti Zina yang pernah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,” katanya lagi.

Antara syarat penyertaan program ini adalah belia mesti lahir di Selangor, pendapatan bersih RM1,500 seorang, merupakan perkahwinan kali pertama, serta pasangan mesti berumur di bawah 35 tahun.

Dr Ahmad Yunus berkata, majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta barisan Exco negeri.

Selain itu, beliau berkata, seramai lima orang pasangan terpilih akan dinikahkan di program berkenaan.

Dalam majlis ini juga, akan berlangsung Majlis Penyerahan Inisatif Perkahwinan Belia kepada pasangan yang sudah membuat permohonan melalui Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN).

-EZY

 


Pengarang :