Selangorkini
SELANGOR

Adun Sungai Burong diarah keluar dewan

Oleh : Afeeqa Afeera,

SHAH ALAM, 22 NOV : Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Nik Nazmi Nik Ahmad mengarahkan Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias keluar dewan kerana keengganan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu mematuhi arahan.

niknazmiNik Nazmi memutuskan demikian selaras dengan Peraturan Tetap 44 (2) berikutan tindakan Shamsudin yang tidak menghormati kuasa speaker dan enggan duduk meskipun diarah berulang kali.

“Saya sudah jalankan perbahasan dengan baik, jadi saya minta yang berhormat Sungai Burong duduk sekarang.

“Dengan dulu dulu penjelasan saya, kalau tidak puas hati bawa usul kepada speaker, baca peraturan tetap, ada jalannya bukan melawan cakap speaker,” katanya semasa sesi perbahasan di DNS di sini.

Insiden bermula apabila Halimaton Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) mahu membangkitkan isu kenaikan sewa flat projek perumahan rakyat (PPR) oleh kerajaan negeri yang bermula ‘seawal Jun 2013’.

Pihak Kerajaan kemudiannya membangkitkan Peraturan Tetap 36(6) bahawa kenyataan Kota Damansara itu adalah sangkaan jahat dan meminta ia ditarik balik.

Apabila kenyataan itu enggan ditarik balik, Shamsudin kemudian cuba bangun untuk mempertahankan tindakan Kota Damansara tanpa merujuk mana-mana peraturan tetap.

Nik Nazmi yang kelihatan tenang berkali-kali mengingatkan Ketua Pembangkang Selangor itu supaya menggunakan usul yang betul sekiranya ingin mencelah atau tidak berpuas hati terhadap speaker.

Bagaimanapun perbalahan yang berlangsung lebih lima minit itu bertambah kecoh apabila Shamsudin terus berdiri untuk mengemukakan hujahnya.

“Memandangkan yang berhormat masih tidak mendengar arahan speaker, maka dengan ini saya memerintahkan Sungai Burong untuk keluar daripada dewan sekarang,” kata Nik Nazmi.

-EZY


Pengarang :