Selangorkini
SELANGOR

Anwar : Tangani rasuah dan pembaziran sebelum laksana GST

anwar-gst

SHAH ALAM 2 NOV : Kerajaan Umno-BN perlu menangani isu rasuah, pembaziran melampau yang merugikan jutaan bilion ringgit wang rakyat dan memperbaiki kualiti taraf hidup rakyat sebelum melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kaedah melaksanakan GST pada ketika ini tidak kena pada masanya kerana masalah kebocoran dan ketirisan dalam kerajaan masih belum diatasi.

Anwar  berkata, beliau membidas sikap pembaziran kerajaan Umno-BN yang menghabiskan RM1.6 juta untuk membawa tiga kumpulan artis K- pop mengadakan persembahan sempena Hari Belia pada tahun lalu.

“Mereka habiskan berjuta untuk konsert itu. Ini yang kami katakan, kerajaan berbelanja besar,” katanya merujuk kepada pendedahan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai pembiayaan konsert tersebut oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Anwar berkata demikian dipetik dari The Malaysian Insider semasa ceramahnya di pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.

Beliau turut menyentuh isu dibangkitkan pengundi Sungai Limau yang terdiri daripada petani sawah padi iaitu antaranya ialah berkait dengan harga padi.

“Kerajaan tidak boleh melaksanakannya sekarang kerana harga padi masih tidak berubah. GST tidak boleh dilaksanakan dalam situasi ketika ini.

“Ini hanya akan menindas rakyat,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kosong selepas wakil rakyatnya yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia pada 26 September lalu.

Azizan adalah penyandang kerusi DUN itu sejak pilihan raya umum 1995.

Pilihan raya kecil kali ini menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim dengan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat. Hari membuang undi adalah pada 4 November ini.


Pengarang :