Selangorkini
SELANGOR

Anwar : ADUN PKR Selangor sumbang RM1,000 sebulan ke tabung pendidikan

Oleh : Mohd Ezli Mashut,

SHAH ALAM 30 NOV : Setiap wakil rakyat PKR Selangor akan menyumbang RM1,000 sebulan atau 20 peratus dari jumlah kenaikan gaji bulanan yang diumumkan untuk membiayai pemberian biasiswa kecil dan program pendidikan di bawah Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor.

Anwar PCKetua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata jumlah sumbangan wakil rakyat PKR dari Selangor kelak dijangka mencecah setengah juta setahun dari jumlah kenaikan gaji mereka yang dapat.

Kata Anwar, ia bertujuan mengagihkan biasiswa pendidikan kecil dan mengendalikan program pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah dan pra-universiti.

“Saya telah menerima pandangan semua pihak mengenai kenaikan gaji yang melibatkan wakil rakyat Selangor. Saya juga telah mendapat penjelasan dari YAB Tan Sri Khalid Ibrahim mengenai rasional kenaikan gaji tersebut.

“Pun begitu, KEADILAN sebagai parti yang membawa semangat reformasi perlu terus sensitif dengan kesempitan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak,” kata Anwar dalam kenyataan medianya.

Katanya setelah berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau bersetuju bahawa satu Tabung Pendidikan KEADILAN Anak Selangor akan ditubuhkan.

“Ini akan dapat membantu keluarga berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan,” kata Anwar.


Pengarang :