SELANGOR

Henti perbesar isu kenaikan gaji Exco, ADUN – Dr Rani

Oleh Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 28 NOV : Semua pihak diminta berhenti mempolitikkan isu kenaikan gaji Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor.

Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Dr Abdul Rani Osman mempertikai pihak yang membesar-besarkan isu itu sedangkan kenaikan sama di Sarawak tidak mendapat liputan media massa.

05“Kenapa bila kenaikan elaun Adun di Sarawak tiada yang besar-besarkan isu? Semua DUN di seluruh negara akan turut menaikkan elaun Adun secara berperingkat.

“Tiada masalah pun, malah dari segi Islam pun tiada sekatan asalkan dengan cara betul,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor itu pada sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Sebelum ini, DUN Sarawak meluluskan kenaikan gaji Ketua Menteri, Timbalan Ketua Menteri, menteri kanan dan Adunnya yang jumlah kenaikannya lebih tinggi berbanding Selangor.

Bagaimanapun, Adun Meru itu berkata, BBC menafikan kenaikan itu terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Besar, baru-baru ini sebaliknya menyentuh isu peruntukan kepada rakyat.

“Memorandum itu lebih merujuk kepada gesaan pemberian peruntukan secara terus untuk kebajikan rakyat,” katanya, menambah pemimpin Barisan Nasional (BN) juga menyambut baik kenaikan gaji itu.

03Berjanji terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat, Adun Sekinchan, Ng Suee Lim pula, berkata kenaikan itu bukan untuk bermewah atau bermegah, sebaliknya menambah komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat.

“Budaya politik Pakatan Rakyat (PR) ialah kita mencegah elemen rasuah. Kita tidak mengambil projek daripada luar berbanding wakil rakyat yang dulu (BN).

“Wakil rakyat PR mesti ada elaun munasabah supaya tidak ambil projek atau tidak ‘sapu’ tanah. BN dulu tidak pedulikan elaun tetapi pentingkan projek,” katanya.

– EZY FZL


Pengarang :