Selangorkini
NASIONAL

Azmin Ali : Dr Mahathir juga pernah keluar Umno

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Tindakan segelintir pemimpin atau wakil rakyat yang mengumumkan diri keluar parti atas sebab tertentu adalah asam garam dalam dunia politik yang harus ditempuh semua pihak.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali, berkata, isu keluar parti bukan sahaja berlaku di dalam Pakatan Rakyat (PR) tetapi turut dihadapi Barisan Nasional (BN) apabila mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno, pada 2008.

Katanya, hanya pemimpin yang komited terhadap perjuangan akan terus membantu rakyat selepas mereka diberi mandat dan kepercayaan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.azmin ali dun 3

“Ini adalah cabaran besar dalam perjuangan politik bagi semua parti. Bagi PR terutama PKR kita akan terus teliti dan pantau supaya perkara ini tidak berulang kerana mereka daripada mandat rakyat yang mahukan perubahan dan tidak bersetuju dengan dasar BN.

“Walaupun mereka muka baru, tetapi diberikan tanggungjawab dan jangan mainkan amanah rakyat,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Sabah yang bertindak meninggalkan parti itu, baru-baru ini.

Terdahulu, ADUN Kadamaian, Jeremmy Malajad mengumumkan keluar daripada PKR dan menjadi wakil bebas yang BN, manakala ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan turut mengisytiharkan peletakan jawatannya sebagai Naib Pengerusi 1 PKR Sabah berkuat kuasa serta-merta.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang didakwa menggesa pertubuhan yang berasaskan agama dan kaum ditarik balik pendaftarannya, Azmin berkata ia adalah usaha media pro BN merosakkan kesepakatan dalam PR

Katanya, PR menerima isu itu sebagai satu cabaran dan menegaskan boleh diselesaikan melalui permuafakatan.

“Karpal dan Lim Kit Siang sudah membuat penjelasan terhadap perkara itu yang jelas diputar belitkan media pro kerajaan untuk memecah belahkan PR yang semakin mantap.

“Apa yang dilaporkan media itu sudah semestinya menimbulkan salah faham, tetapi perkara ini sudah diselesaikan dan PAS menerima penjelasan yang diberikan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :