Selangorkini
SELANGOR

Selangor belanja RM2.28 bilion rizab simpanan

SHAH ALAM 19 NOV: Kerajaan Selangor akan membelanjakan RM2.28 bilion rizab simpanan bagi perbelanjaan pembangunan dan pengurusan pada 2014, kata Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah RM1.225 bilion diperuntuk kepada
perbelanjaan mengurus yang meliputi 53.7 peratus manakala bakinya RM1.055
bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Membentang Belanjawan Berimbang Negeri Selangor 2014 , beliau berkata,
sebanyak RM430 juta dibelanja bagi membiayai pembangunan enam inisitif
melibatkan kepentingan rakyat.

pembentangan-bajet-2014“Antaranya ialah RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, pembinaan
rumah mampu milik (RM100 juta) dan pembinaan beberapa bangunan sekolah (RM50 juta).

“Selain itu, sejumlah RM50 juta dari rizab simpnanan digunakan untuk pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia, pembangunan desa (RM50 juta dan pemberdayaan wanita (RM30 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor 2013 bertema Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Setakat 31 Oktober 2013, Abdul Khalid berkata, Kumpulan Wang Disatukan Selangor dalam bentuk tunai dan pelaburan ialah RM2,712.85 juta, sekaligus menandakan rizab negeri berada pada paras tertinggi sejak 1998.

“Mungkin kerana kurang arif mengenai selok-belok pengurusan kewangan dan fiskal, wujud suara-suara yang mengecam atau paling tidak, merungut tentang kecenderungan kerajaan mengumpul rizab.

“Saya tegaskan pembinaan rizab beserta perbelanjaan berhemah mengikut konsep keutamaan yang betul merupakan paksi disiplin fiskal dan sebahagian rangka pengurusan kewangan dan fiskal jangka panjang,” katanya.

– FZL


Pengarang :