Selangorkini
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2014 : Peranan belia dan wanita diiktiraf

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 NOV : Selangor memperuntukkan RM11.5 juta bagi pembangunan belia dan sukan dalam usaha memperhebatkan lagi peranan anak muda dalam program pembangunan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, peruntukan berkenaan termasuk RM3.5 juta bagi projek pembangunan belia, RM7.2 juta membabitkan pembangunan sukan secara am serta RM800,000 untuk menaiktaraf infrastruktur dan fasiliti sukan.

pc khalid dun“Selangor amat bertuah kerana ia secara relatif adalah negeri ‘muda’ dengan potensi produktiviti yang besar daripada segi ekonomi dan tenaga kerja.

“Oleh itu, kita juga memperuntukkan RM50 juta khas daripada rizab negeri bagi tujuan Pembangunan Usahawan dan Pemerkasaan Belia,” katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2014, di Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Selain itu, RM1.3 juta diperuntukkan bagi agenda pemberdayaan wanita dan keluarga termasuk Pusat Wanita Berdaya, kempen kesedaran keganasan rumahtangga, portal Wanita dan E-BU, kempen ‘Wanita Selangor Sihat’, program pemberdayaan ekonomi wanita, konvensyen kepimpinan wanita dan kursus kemahiran jangka pendek.

Kerajaan negeri juga menyediakan dana rizab negeri sebanyak RM30 juta sebagai perbelanjaan pembangunan bagi 2014 khusus untuk melaksanakan program menjana dan meningkatkan pendapatan wanita sebagai kesinambungan bagi agenda pemberdayaan wanita.

-NFN-


Pengarang :