Selangorkini
NASIONAL

BERSIH 2.0 desak pemberian Mykad tidak sah dihenti segera

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 12 NOV – Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mendesak semua aktiviti pemberian kad pengenalan (Mykad) secara tidak sah dihentikan serta merta dan daftar pemilih pilihan raya sedia ada dibersihkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ahli Jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah, menegaskan Bersih 2.0 masih kekal dengan pendirian mendesak daftar pemilih dibersihkan seperti yang dikemukakan dalam lapan tuntutan untuk pilihan raya bersih dan adil.

Beliau mendakwa pemberian kad pengenalan seperti di Sabah adalah lebih kepada untuk mengimbangi daftar pemilih pilihan raya dan bukan untuk melakukan jenayah.polis bersih

“Apa yang berlaku di Sabah, bila mereka memberi kad pengenalan palsu bukan untuk membuat jenayah, tetapi sebenarnya untuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengawal daftar pemilih. Saya tak boleh nak kata ada kaitan pemberian kad pengenalan dengan jenayah.

“Saya boleh katakan jika kita ingin pilihan raya yang bersih dan adil, pemberian kad pengenalan secara tidak sah ini perlu dihentikan sekarang.

“Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya sekarang perlu meletak jawatan kerana banyak bukti yang menunjukkan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk melakukan tugas,” katanya kepada Selangor Kini.

Beberapa kejadian jenayah membabitkan pengawal keselamatan yang menggunakan kad pengenalan palsu sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa juga turut berlaku, akhir-akhir ini.

-NFN-


Pengarang :