SELANGOR

Dua premis vcd lucah diserbu MPSJ

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 27 NOV : Dua premis diserbu pihak penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kerana melanggar syarat sekatan lesen dengan menjual vcd dan dvd haram dalam satu operasi yang dijalankan, baru-baru ini.

Operasi itu diketuai Penolong Penguatkuasa, Ravithran Raman serta 19 anggota penguatkuasa berjaya merampas 2,885 keping vcd di premis berkenaan yang terletak di Bandar Puteri, Puchong.

mbpj 03Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPSJ, Mejar (B) Mohd Rasip Rasul, berkata hasil siasatan mendapati dua premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan sah daripada MPSJ tetapi melanggar syarat yang dikenakan dengan menjual vcd haram dan lucah.

“Premis berkenaan dikenakan tindakan sitaan dan diarah tutup di bawah Undang-Undang Kecil 10(1)(a) Undang-Undang Perlesenan, Tred Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007 kerana melanggar syarat sekatan lesen.

“Premis berkenaan juga dikenakan denda maksimum sebanyak RM1,000,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, MPSJ merekodkan 16,426 keping vcd berjaya dirampas sepanjang 2011 dan 33,597 vcd (2012), manakala 51 premis dikenakan tindakan dan 28,744 keping vcd berjaya disita, sehingga pertengahan bulan ini.

-NFN-


Pengarang :