SELANGOR

Enakmen baru bendung pusat siber judi

Oleh : SIRAJ MOHD ZAINI

Gambar : Shuaib Ayob

SHAH ALAM 21 NOV : Kerajaan negeri sedang melakukan kajian untuk merangka satu enakmen yang memberi lebih kuasa kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor sebagai usaha membendung pertumbuhan pusat siber judi.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Datuk Teng Chang Kim, berkata kuasa yang diberikan kepada PBT sehingga kini masih terhad kerana hanya mempunyai kuasa menyita premis dan mengenakan denda maksimum RM1,000 sahaja.

03Chang Kim (DAP-Sungai Pinang) berkata, satu enakmen yang lebih berkesan perlu dirangka supaya permasalahan itu tidak terus merebak untuk tahun akan datang.

Katanya, kerajaan negeri juga mempertimbangkan untuk merangka enakmen baru yang membolehkan premis pusat siber haram itu dirampas dan dilelong bagi membendung kegiatan berkenaan.

“Kuasa sedia ada tidak membenarkan kita melaksanakannya dan satu enakmen lebih berkesan diperlukan kerana selepas disita ia dibuka semula jadi sesuatu perlu dilakukan kerajaan negeri kerana kuasa mutlak di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.

“Kita sedang dalam kajian untuk merangka enakmen yang boleh dipakai semua PBT bagi memberi kuasa lebih besar kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap pusat siber yang tidak berlesen ini,” katanya.

Chang Kim berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) ketika sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah awal setiap premis pusat siber akan disyaratkan menggunakan dua perisian yang dibenarkan sebelum diberikan lesen perniagaan.

“Ini adalah satu cara untuk memastikan mereka menjalankan perniagaan mengikut undang-undang. Kerajaan negeri juga bercadang untuk membekalkan alat keselamatan kepada penguatkuasa PBT kerana risiko tugas ketika melakukan operasi penguatkuasaan.

“PBT Selangor sentiasa melakukan usaha pemantauan tetapi tidak mampu menghapuskan premis yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu secara menyeluruh. Kita boleh menyita premis dan barangan, tetapi selepas pemilik premis membayar denda RM1,000 yang dikenakan, mereka kembali membuka premis berkenaan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :