Selangorkini
SELANGOR

Enakmen Kebebasan Maklumat: Johor perlu contohi Selangor & P Pinang

Oleh : Mohd Ezli Mashut
SHAH ALAM 17 NOV : Kerajaan Johor seharusnya mencontohi Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang dengan meluluskan Enakmen Kebebasan Maklumat.
booAdun Skudai merangkap Ketua Pembangkang DUN Johor,  Dr. Boo Cheng Hau, Kerajaan Johor dan Pusat gagal mewujudkan kerajaan terbuka dan sistem kewangan telus.

Katanya, analisis Transparency International menunjukkan, undang-undang yang bersifat kerajaan terbuka akan menghapuskan rasuah dan  meyakinkan pelabur .

“Khasnya Akta Maklumat Bebas yang memastikan hak orang awam dan pelabur mengetahui butiran dasar dan keputusan kerajaan terhadap sesuatu polisi kewangan,” kata Dr Boo.

 Beliau berkata demikian dalam ucapan Perbahasan Bajet Negeri Johor 2014 pada 11 November lepas.

Enakmen Kebebasan Maklumat (Negeri Selangor) 2011 mula dikuat kuasa 5 Mac lalu demi kepentingan masyarakat awam.

Melalui enakmen itu, rakyat boleh mengetahui secara mendalam ketelusan minit mesyuarat jawatankuasa meluluskan projek dan maklumat status sesuatu projek.

Pada 2012, kata Dr Boo, Johor merupakan ekonomi keempat besar yang menyumbang 9.2 peratus kepada KDNK seluruh Malaysia selepas  Selangor (23.5%), Wilayah Persekutuan (15.2%) dan Sarawak (9.6%).

“Johor masih ketinggalan dalam sektor perkhidmatan yang didahului oleh enam negeri dan wilayah iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Perak,” kata beliau.

– EZY FZL


Pengarang :