Selangorkini
SELANGOR

GST : IKS perlu belanja sehingga RM4 bilion untuk sistem perkomputeran

Gst biasa

SHAH ALAM 3 NOV : Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini perlu membelanjakan kira-kira RM3 bilion – RM4 bilion untuk melaksanakan sistem perkomputeran bagi sistem Cukai dan Perkhidmatan (GST) yang bermula 1 April 2015.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tee Zin berkata, jumlah itu merupakan kos yang besar yang perlu ditanggung rakyat dan negara ketika mana pelaksanaan GST itu masih lagi dipertikaikan keberkesannya.

Kata beliau, akibat menanggung kos yang tinggi ini maka pihak syarikat akan mengalihkan kos itu kepada pengguna yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan serta peningkatan kadar inflasi.

“Sekarang RM100 juta hanya untuk sistem perkomputeran dan ia bukan sahaja melibatkan sistem itu pada kerajaan tetapi rakyat juga khususnya peniaga kecil dan sederhana perlu membelanjakan antara RM20,000 sehingga RM80,000 untuk sistem baru.

“Maka daripada segi rakyat maka mereka perlu membuat perbelanjaan yang besar bagi GST itu, manakala syarikat besar perlu membelanjakan ratusan ribu ringgit sehingga jutaan ringgit untuk GST,” kata Sim ketika dihubungi TVSelangor.

Beliau berkata, unjuran kos itu bersandarkan kepada pengalaman negara luar yang melaksanakan sistem GST apabila pihak IKS memerlukan perbelanjaan besar untuk menaiktaraf sistem perkomputeran sedia ada.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Putrajaya akan membelanjakan RM98.8 juta untuk melaksanakan sistem berkomputer bagi GST.

Najib berkata Jabatan Kastam sebagai agensi pelaksanaan juga akan menyusun semula kakitangan dan penempatan pegawai sebagai persediaan untuk melaksanakan cukai.

Sim berkata, kos perkomputeran sebanyak hampir RM100 juta untuk GST yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Pusat juga dibimbangi akan meningkat dan menjurus kepada pembaziran jika tanpa kawalan.

Katanya, Kerajaan Pusat melaksanakan GST secara tergesa-gesa apabila tiada pemberian insentif kepada pihak IKS bagi menaiktaraf sistem perkomputeran.

“Maka berbilion-billion ringgit diperlukan hanya untuk melaksanakan GST,” kata beliau.

-EZY


Pengarang :