Selangorkini
NASIONAL

Pelaksanaan GST : Rakyat berdepan kenaikan tarif elektrik pada 2016

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 11 NOV : Rakyat Malaysia tetap berdepan dengan kenaikan tarif elektrik sebaik pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksana kerajaan pusat, berkuatkuasa 1 April 2015.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata walaupun kerajaan pusat memaklumkan GST tidak akan dikenakan ke atas 200 unit (kWh) pertama iaitu RM43.60 sebulan, namun pengguna tidak boleh mengelak daripada membayar cukai jika penggunaan elektrik lebih daripada nilai terbabit.

teo nie ching 01Katanya, pelaksanaan GST juga akan menjejaskan beberapa sektor lain seperti kesihatan iaitu klinik dan hospital, perniagaan industri, komersial serta sekolah.

“Kenaikan tarif elektrik akan turut dirasai sektor lain contohnya hospital dan klinik. Bagaimana mereka dapat menampung kenaikan tarif elektrik termasuk bayaran cukai sebanyak enam peratus yang dikenakan kerajaan pusat.

“Kerajaan harus kaji semula polisi ini kerana akan menjejaskan banyak pihak. Jika benar apa yang dikatakan ini, terbukti Barisan Nasional (BN) itu tidak lebih daripada slogan ‘Barang Naik’,” katanya dalam pada media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, kenaikan tarif elektrik juga dijangka akan menjadi kenyataan apabila kerajaan pusat bakal mengurangkan subsidi bahan gas asli berikutan harga pasaran dunia yang tidak menentu.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, kerajaan BN mula menekan rakyat dengan menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen seliter dan gula sebanyak RM0.34 sen, berkuatkuasa 26 Oktober lalu.

-NFN-


Pengarang :