Selangorkini
NASIONAL

Had jangka hayat kereta taktik BN kutip GST

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 20 NOV : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan alasan kerajaan Barisan Nasional (BN) mahu melaksanakan had jangka hayat kereta bagi mengutip cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Rafizi berkata, setiap urus niaga pembelian dan penjualan kereta sama ada baru atau terpakai akan dikenakan GST yang bakal memberi tekanan kepada rakyat.

Rafizi-Cukai-KeretaKatanya, alasan had jangka hayat itu digunakan kerajaan bagi mengutip lebih banyak GST jika rakyat kerap bertukar kereta.

“Alasan bahawa dasar ini perlu dilaksanakan demi keselamatan rakyat di jalan raya nampak dangkal tanpa bukti yang kukuh bahawa majoriti kemalangan disebabkan kenderaan berusia lebih 12 tahun.

“Tidak ada satu keterangan saintifik dan emperikal setakat ini yang menunjukkan risiko kereta berusia 12 tahun naik mendadak, berbanding kereta berusia 11 tahun,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon dalam kenyataan media sebelum ini berkata, kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai masalah dan mengundang risiko kematian lebih tinggi ketika kemalangan berbanding baru.

Namun, kenyataan beliau disanggah pelbagai pihak termasuk pemilik kenderaan berusia lebih 12 tahun terutama di laman sosial yang mengakui bebanan baru bakal ditanggung jika kereta lama mereka dilupuskan dan terpaksa membeli baru.

Sehubungan itu, Rafizi berkata, kemalangan yang berlaku dipengaruhi faktor lain seperti jalan raya tidak selamat, papan tanda mengelirukan dan sikap pemandu yang tidak berwaspada.

Rafizi berkata, alasan kerajaan untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta demi keselamatan jalan raya dilihat remeh dan tidak ikhlas.

-NFN-


Pengarang :