NASIONAL

Intipan Singapura, Putrajaya perlu bertindak tegas

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 25 NOV : Putrajaya digesa memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura untuk memberikan penjelasan dakwaan aktiviti intipan yang dilakukan negara itu, sejak tahun 1970an.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, berkata laporan berita mengatakan agensi risikan Singapura terbabit dalam aktiviti mengintip telekomunikasi dan trafik internet termasuk dari Malaysia melalui tap terhadap kabel SEA-ME-WE-3.

fahmi-fadzil“Putrajaya juga wajib menghantar surat bantahan kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura atas aktiviti intipan yang dilapor dilakukan dengan kerjasama Singapore Telecommunications Limited (SingTel),” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Fahmi berkata, Putrajaya wajib meminta penjelasan dari Singapura berkenaan pimpinan tertinggi negara, termasuk dari pihak kerajaan dan pembangkang yang diintip komunikasi mereka seperti dakwaan yang timbul dalam laporan mengatakan Canselor German, Angela Merkel, juga diintip, sejak 2002.

“PKR memandang serius isu intipan terutama membabitkan negara jiran ketika beberapa projek mega termasuk High Speed Rail sedang dibincangkan.

“Jika isu ini tidak ditangani dengan pantas dan tegas, ia mungkin akan menjejaskan hubungan antara negara,” katanya.

Kumpulan media berpengkalan di Australia, Fairfax Media melaporkan akhbar harian Belanda, NRC Handelsblad menamakan Singapura sebagai kunci utama “pihak ketiga” yang menyalurkan lima negara terbabit akses ke dalam saluran komunikasi di Malaysia, hari ini.

Singapura adalah rakan utama kumpulan risikan “5 Eyes” yang memintas telefon dan memantau rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur dan ia didedahkan dalam dokumen sama yang dikeluarkan pendedah maklumat Edward Snowden.

Akhbar itu menerbitkan sebuah peta yang menunjukkan cengkaman Amerika Syarikat ke atas saluran komunikasi trans-Pasifik melalui kemudahan pemintasan di Pantai Barat Amerika Syarikat, Hawaii dan Guam.

Kemudahan fasiliti itu memintas semua kabel trafik merentas Lautan Pasifik dan berhubung dengan Australia, Jepun serta Singapura adalah sebahagian daripada pembinaannya seperti yang ditunjuk dalam peta.

Menurut Fairfax, Malaysia dan Indonesia menjadi sasaran utama bagi dua perisikan Australia dan Singapura sejak tahun 1970-an kerana kebanyakan telekomunikasi dan trafik internetnya akan melalui kepulauan bandar raya negara itu.

-NFN-


Pengarang :