MB cadang bayaran syarikat konsesi air ditentukan perantara bebas | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


MB cadang bayaran syarikat konsesi air ditentukan perantara bebas

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM 14 NOV : Kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada badan bebas sebagai perantara untuk menentukan jumlah yang perlu dibayar kepada empat syarikat konsesi air jika persetujuan itu masih menemui jalan buntu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata keputusan itu dibuat bagi kepentingan semua pihak memandangkan permintaan harga syarikat konsesi terbabit bercanggah dengan tawaran kerajaan negeri sebelum ini.


Katanya, perbincangan masih diteruskan sehingga kini dan keputusan itu bakal diambil supaya ketelusan Selangor menguruskan air dirasai rakyat.

mb - majlis inovasi kerajaan negeri selangor 3“Pada saya, jika Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) masih berbeza dengan harga negeri, kita memang cadangkan ia dibuat mengikut perantara bebas.

“Jika rakyat tanya kepada saya kenapa Selangor bayar lebih daripada itu, kita boleh kata ia diadili dengan baik. Kalau perantara kata tidak perlu bayar, maka tidak perlulah,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor 2013, di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

Berhubung pendirian kerajaan pusat yang akan menggunakan undang-undang jika isu terbabit menemui jalan buntu, Abdul Khalid berkata, penyelesaian itu adalah lebih baik apabila membabitkan dua pihak iaitu kerajaan negeri dan kementerian.

“Kita akan terus lindungi bekalan air dan akan menawarkan bekalan air bersih jika kementerian setuju, yang mana pakej pampasan akan dibincangkan kemudian,”katanya.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan isu Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang mendakwa beliau menolak cadangan pembangunan rakyat, Abdul Khalid berkata, perjumpaan sudah diadakan dan lakaran Belanjawan 2014 akan diserahkan kepada mereka esok.

“Jumaat (15 Oktober), kita akan beri lakaran Belanjawan dan Selasa (19 Oktober) akan bentangkan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan insentif bernilai RM200,000 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Petaling bagi kategori kutipan tertinggi.

Pejabat Daerah dan Tanah Gombak mendahului dengan kutipan cukai tanah semasa sebanyak 95.5 peratus dan tunggakan cukai tanah sebanyak 104.2 peratus, manakala Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pula memenangi kategori premium tanah 2012 dengan kutipan paling tinggi berjumlah RM318 juta.

Anugerah Inovasi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dimenangi Majlis Bandaraya Shah Alam yang membawa pulang piala, sijil dan cek bernilai RM20,000 manakala Anugerah Inovasi Menteri Besar Selangor diterima Majlis Perbandaran Subang Jaya yang menerima piala, sijil dan cek bernilai RM30,000.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION