Jangan laksana had jangka hayat kereta selagi cukai eksais tidak dihapus – Rafizi | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang


Jangan laksana had jangka hayat kereta selagi cukai eksais tidak dihapus – Rafizi

Oleh : Rafizi Ramli

Saya terkejut dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.

Lebih membimbangkan apabila Datuk Abdul Aziz Kaprawi turut dilaporkan sebagai berkata bahawa keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan “perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat”.


Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang.

RafiziDengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta.

Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia.

Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.

Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional menang (dengan tipu helah) dalam PRU13.

Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak. Kini dengan cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun, ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.

Masalah utama bersabit pemilikan kereta di Malaysia yang pernah dilaporkan sebagai kedua termahal di dunia ialah struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga naik melambung.

Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.

Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain.

lalalOleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus.Akibatnya harga kereta di Malaysia terus kekal menjadi antara yang tertinggi di dunia.

Oleh sebab itulah, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif KEADILAN telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu.

Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.

Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama.

Maka, sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan akan ditentang habis-habisan. Dasar had jangka hayat kereta hanya boleh dilaksanakan setelah harga kereta di Malaysia turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

* Rafizi Ramli adalah Ahli Parlimen Pandan dan Pengarah Strategi PKR

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION