Selangorkini
SELANGOR

Jawatankuasa dibentuk rancang sistem pengangkutan awam

Oleh : Afeeqa Afeera

SHAH ALAM, 29 NOV : Satu jawatankuasa terdiri daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan ditubuhkan dalam usaha merancang sistem pengangkutan awam di Selangor.

sidang dun 21-11-13 - 5Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata meskipun pelan pengangkutan awam darat adalah di bawah bidang kuasa SPAD, namun kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan memberi pandangan dan maklum balas terhadap perancangan yang dibuat.

Katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) juga menyediakan Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang memberi fokus terhadap peningkatan penggunaan pengangkutan awam dan memperluaskan lingkungan pengangkutan awam secara bersepadu.

“Draf perancangan ini akan dibentangkan tidak lama lagi kepada jabatan perancangan negeri untuk penelitian dan kelulusan,” katanya ketika menjawab pertanyaan daripada Adun Kajang, Lee Chin Cheh berhubung pelan induk sistem pengangkutan di negeri ini pada Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Abdul Khalid berkata SPAD juga sudah menyediakan ‘Draft Greater Kuala Lumpur/ Klang Valley Public Transport Master Plan’ iaitu Pelan Induk bagi kemudahan pengangkutan awam darat yang meliputi pengangkutan berasaskan rel, bas dan teksi.

Katanya perbincangan dan maklum balas terhadap draf itu khususnya dalam konteks negeri Selangor juga sudah dilaksanakan melalui pengajuran sebuah bengkel pada Mac tahun lalu.

“Kerajaan negeri turut mengambil pendekatan menubuhkan Jawatankuasa Induk Pengangkutan Awam yang diurusetiakan SPAD dan dipengerusikan Pengarah Upen Selangor.

“Ia untuk membincangkan isu dan masalah pengangkutan awam di Selangor serta perlaksanaan projek-projek yang berkaitan pengangkutan awam,” katanya lagi.

-EZY


Pengarang :