SELANGOR

Jawatankuasa Perwakilan Penduduk bertujuan politik dan rampas kuasa PBT

Sim-Tze-TzinKUALA LUMPUR 7 NOV : Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang ditubuhkan kerajaan pusat bagi menyokong program pembangunan masyarakat disifatkan mempunyai tujuan politik dan cubaan rampasan kuasa daripada kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata fungsi JPP yang dicadangkan kerajaan pusat didapati sama dengan tugas ahli majlis dan mungkin melanggar Perlembagaan.

Katanya, JPP yang tertumpu di kawasan bandar itu akan mensasarkan PBT di negeri Pakatan Rakyat (PR) dan mungkin bertujuan bersaing dengan ahli majlis lantikan kerajaan negeri.

“Penubuhan JPP diputuskan selepas Barisan Nasional (BN) gagal meraih undi majoriti daripada penduduk di kawasan bandar ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kami syak kerajaan pusat ingin memusatkan kuasa dengan menubuhkan JPP sebagai ‘Ahli Majlis Lantikan Persekutuan’ yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan kerana PBT adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Saya menyeru kerajaan tempatan dan kerajaan negeri mengambil perhatian terhadap inisiatif ini,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, adalah lebih baik jika kerajaan mebenarkan pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan untuk memberi mandat yang lebih besar kepada pentadbiran PBT.

Beliau berkata, pilihan raya itu dijamin akan menjadikan ahli majlis sedia ada lebih efektif dalam urusan pentadbiran dan perbandaran.

“Penubuhan JPP hanya membuang masa dan peruntukan kerajaan kerana akan menghadkan kuasa PBT yang sebenarnya terletak di bawah kerajaan negeri. Kerajaan pusat harus akur berkenaan kuasa PBT yang terletak di bawah kerajaan negeri dan elakkan daripada melanggar kuasa,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan bajet sejumlah RM63 juta untuk menubuhkan 24 zon JPP di setiap PBT, pada 25 Oktober lalu,

JPP akan bertindak sebagai satu entiti yang dianggotai wakil masyarakat setempat bagi menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu perbandaran di kawasan PBT dan inisiatif terbaru itu adalah hasil maklum balas yang menunjukkan kebanyakna penduduk bandar tidak memahami dengan jelas berkenaan program dana dasar kerajaan, ketika PRU-13 lalu.

-NFN-


Pengarang :