Selangorkini
NASIONAL SELANGOR

JPP projek buang masa, rugi dana rakyat – Mat Taib

Oleh : Naeem Raffi

SHAH ALAM 15 NOV : Pembangunan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) lantikan kerajaan pusat disifatkan sebagai satu lagi projek membuang masa dan merugikan dana rakyat.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhamad Muhamad Taib, berkata hal itu adalah selepas meneliti kebarangkalian berlakunya pertindihan kuasa antara ahli majlis Pihak Bekuasa Tempatan (PBT) dengan ahli pelaksana JPP.

mat taib“Secara kasarnya, perkara ini jelas akan berlaku kerana satu kawasan mempunyai dua jawatankuasa dengan peranan sama. Ia akan memecah belahkan hubungan masyarakat dan PBT, jadi lebih baik guna saluran sedia ada iaitu mengekalkan ahli majlis di bawah PBT, tanpa JPP.

“JPP ditubuhkan untuk kepentingan rakyat dan saya khuatir dana yang disalurkan tersekat di tengah jalan. Sampai satu peringkat, projek tidak terlaksana, tetapi pihak yang mengurus projek menggunakan dana itu,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, semalam.

Muhamad yang juga Ahli PAS, berkata dakwaannya itu bersandarkan kepada kegagalan kerajaan pusat memperincikan mekanisme JPP kepada pengetahuan umum walaupun dana RM63 juta untuk pembangunan entiti itu diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Nasional 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Ke mana dana besar itu akan disalurkan, siapa akan menerima dan menguruskannya, apa mekanisme serta mondus operandi yang akan digunakan.

“Ia tidak dijelaskan secara terperinci dan saya khuatir pembangunan JPP dengan dana puluhan juta itu tidak sampai kepada rakyat, tetapi tersekat di tengah jalan,” katanya.

-NFN-


Pengarang :