Selangorkini
SELANGOR

Kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’ dilancar esok

daroyah aedesOleh : NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM 9 NOV : Kerajaan Selangor melancarkan kempen ‘Ayuh Gempur Aedes Perdana’ secara serentak bermula esok bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes, sekali gus mengekang penularan demam denggi.
Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Daroyah Alwi, berkata kempen itu dijalankan mengikut peringkat dan berterusan.
Katanya, ia dilaksanakan secara bersama dengan penduduk setempat di bangunan kediaman, perniagaan dan pangsapuri atau bangunan berstrata.
“Kita akan bersama-sama dengan penduduk bergotong-royong membersihkan kawasan manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memberi taklimat kepada penduduk.
“Kita akan bertukar-tukar kawasan antaranya kediaman, perniagaan dan tumpuan ramai,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.
Mengikut perangkaan Jabatan Kesihatan Selangor, sebanyak 11,498 kes dilapor setakat 5 Oktober lalu, meningkat 61.74 peratus berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding  11 kes bagi tempoh sama pada 2012. Ada 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti ‘hotspot’ atau wabak berlarutan di Selangor.
Sebanyak 230 lokaliti wabak dilapor dengan 75 lokaliti (32.6 peratus) di Petaling, 71 lokaliti (30.9 peratus) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1 peratus) di Gombak.
Daroyah berkata, ia bertujuan mengurangkan kes denggi dengan mensasarkan sifar denggi berikutan Selangor sebelum ini, mencatatkan kes tertinggi di negara ini.
Beliau meminta semua lapisan masyarakat membersihkan kawasan persekitaran dan mengurus pembuangan sampah dengan lebih baik bagi membanteras penularan kes.
“Selangor sebuah negeri yang boleh disebut sebagai ‘urban terrorits’. Apabila penduduk ramai, kebersihan dilupakan sesetengah pihak. Walaupun PBT bertungkus lumus tetapi peranan masyarakat juga penting,” katanya.
– FZL

Pengarang :