NASIONAL

Kerajaan Pusat perlu matang beri peruntukan MP Pakatan

Oleh : Lizawati Madfa

SHAH ALAM 16 NOV : Kerajaan Umno-BN yang kini melebihi setengah abad menerajui pemerintahan negara digesa untuk bersikap lebih matang dan terbuka dalam isu pemberian peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat (PR).

Shamsul Iskandar vs Najib Razak 3Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin, berkata memang terdapat peruntukan kepada setiap kawasan Parlimen namun ianya tidak disalurkan secara terus kepada Ahli Parlimen PR.

Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan pelbagai rancangan pembangunan terganggu di kawasan yang dimenangi PR, seterusnya mengkhianati amanah rakyat yang mengundi.

“Kerajaan seharusnya meletakkan titik noktah kepada permasalahan yang berlarutan sekian lama ini dan mengambil pendekatan yang memenangkan rakyat di akhirnya.

“Kalau benar-benar menjunjung demokrasi seperti diuar-uarkan selalu, maka Umno-BN perlu lebih terbuka dan mementingkan rakyat serta jangan politikkan peruntukan ini,” ujar Shamsul yang dihubungi Selangor Kini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu peruntukan pembangunan yang tidak disalurkan secara terus kepada Ahli Parlimen PR, sebaliknya diletakkan di bawah bidang kuasa Pegawai Pembangunan Negeri bagi setiap negeri di bawah pentadbiran PR.

Sehubungan itu, Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa Kerajaan Umno-BN mencontohi Kerajaan Filipina yang memberi peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen sama ada daripada parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

“Itulah amalan demokrasi yang sebenar dan yang bebas daripada pemikiran politik lapuk diamalkan Umno-BN di sini,” kata Shamsul.

– EZY


Pengarang :