SELANGOR

Kerajaan Selangor bantu penduduk Kampung Buloh Telor atasi tebing sungai runtuh

Kampung Buloh Telor

KUALA KUBU BAHARU 7 NOV : Penduduk Kampung Buloh Telor kini boleh menarik nafas lega apabila runtuhan tebing sungai yang merosakkan satu-satunya jalan menghubungkan perkampungan Orang Asli itu akan dibaiki sepenuhnya tidak berapa lama lagi.

Kerja pembaikan itu melibatkan kerja pembinaan penahan tebing dan kerja-kerja menurap semula jalan yang rosak melalui peruntukkan yang disalurkan Kerajaan Negeri.

Kampung Buloh Telor 2

ADUN Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong, berkata peringkat pertama kerja membina penahan tebing di kampung yang didiami hampir 150 orang daripada 37 buah keluarga orang asli itu sudah pun disiapkan.

“Walaupun ini merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Hal Ehwal Kemajuan Orang Asli (JHEOA) tetapi saya mohon Kerajaan Negeri beri peruntukan untuk memudahkan penduduk kampung ini keluar dan masuk.

“Terdapat dua bahagian di tebing sungai ini yang perlu dibaiki di mana sebahagian sudah siap dan sebahagian lagi saya perlu mohon peruntukan baru dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Kampung Buloh Telor 1

“Ini disebabkan ketika lawatan pegawai UPEN sebelum ini, ada bahagian runtuhan yang ditutupi pokok-pokok dan semak-samun yang menyebabkan bahagian ini tidak kelihatan pada masa itu,” kata beliau ketika mengadakan lawatan tapak pembinaan penahan tebing dan jalan di Kampung Buloh Telor di sini.

Kee Hiong berkata lagi, pembinaan peringkat pertama penahan tebing tersebut mencecah kos RM19,000 manakala kos pembinaan bahagian kedua dan kerja membaiki jalan masih dalam penilaian UPEN.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Buloh Telor, Harun Adam berkata, kejadian runtuhan tebing itu mula berlaku sejak Mac lalu berikutan hujan lebat.

“Sejak itu jalan rosak dan jadi sempit sebab tanah tebing sungai runtuh tetapi dengan bantuan Kerajaan Negeri, saya berharap masalah ini akan selesai sepenuhnya sekaligus memudahkan penduduk kampung ini.

“Terima kasih kepada YB Kee Hiong dan Kerajaan Negeri kerana bantuan ini akan memudahkan penduduk kampung untuk menjalankan urusan harian meraka,” kata Harun.

Kampung Buloh Telor 4

EZY


Pengarang :