Selangorkini
SELANGOR

Kerajaan Selangor sedia jadi ‘orang tengah’ antara Nelayan dan Kerajaan Pusat

nelayan

SHAH ALAM 6 NOV : Kerajaan Selangor akan terus membantu nasib golongan nelayan yang terjejas ekoran penguatkuasaan baru Kerajaan Pusat dengan berusaha mengadakan pertemuan antara kedua belah pihak.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi, berkata pertemuan antara Nelayan dan Kerajaan Pusat penting agar masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan cara terbaik.

“Kita juga akan menyalurkan pandangan permasalahan di hadapi nelayan ini kepada Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk disuarakan di Dewan Rakyat.

“Dan kita akan cuba selesaikan masalah ini kerana permasalahan ini juga berlaku di seluruh negara,” kata Sallehen ketika dihubungi Selangor Kini.

Sallehen menyatakan perkara demikian selepas mengadakan pertemuan dengan para nelayan dan pihak persatuan di Sungai Besar.

Kata beliau, Kerajaan Pusat perlu mengadakan pendengaran awam bagi mendengar pandangan daripada pihak Nelayan.

“Pihak kerajaan juga perlu memberikan masa yang sesuai penguatkuasaan baru itu kerana tindakan serta merta menyebabkan golongan Nelayan tidak dapat bersedia untuk mematuhi peraturan baru yang dikuatkuasakan,” kata Sallehen.

Sebelum ini, kira-kira 500 pemilik bot dan nelayan di seluruh Selangor terus melancarkan mogok untuk tidak turun ke laut,sebagai bantahan terhadap penguatkuasaan baru yang dikenakan ke atas mereka, sejak 1 November lalu.

Ini termasuk 200 pemilik bot dan nelayan di Sekinchan, 160 pemilik bot dan nelayan di Pulau Ketam ,dan kira-kira 100 pemilik bot dan nelayan di Tanjong Karang.

Mulai 1 November, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38 milimeter (mm) bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan, selain pukat juga dipendek serta diperkecilkan dengan ukuran tertentu.


Pengarang :