SELANGOR

Ketua Pembangkang akui gagal patuhi peraturan Dewan

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 27 NOV: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor (DNS), Datuk Mohd Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burong) akhirnya mengaku hukuman penggantungannya selama sehari daripada menyertai sidang dewan Jumaat lalu adalah wajar.

Beliau berkata demikian sebagai membalas kenyataan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendakwa tindakan menggantung elaun dan menghadiri sidang DNS selama 30 bulan terhadap Datuk Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) ketika memegang jawatan sebagai Ketua Pembangkang DNS sebagai tindakan kejam pentadbiran BN, pada 2004.

sl“Sama seperti saya yang digantung daripada bersidang kerana tidak patuhi peraturan dan arahan Tuan Speaker,” katanya ketika mencelah perbahasan Suee Lim yang membahaskan Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013, di DNS, di sini, hari ini.

Shamsuddin diarahkan keluar dewan selaras dengan Peraturan Tetap 36 (6) kerana cuba mencelah bagi mempertahankan Halimathon Saadiah Bohan (BN-Kota Damansara) yang mengeluarkan kenyataan bersangka jahat ketika berbahas dalam persidangan DNS, pada 22 November lalu.

Tindakan Shamsuddin itu tidak mematuhi aturan mesyuarat apabila beliau gagal merujuk kepada sebarang pertaturan tetap sidang DNS.

niknazmiSementara itu, Timbalan Speaker DNS, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau sentiasa memberi ruang secukupnya kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada daripada kerajaan atau pembangkang untuk berbahas.

Beliau yang diminta mengulas kejadian itu melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Shamsuddin bertentangan dengan kenyataannya sendiri yang berterima kasih kepada Speaker DNS kerana memberi peluang perbahasan secara adil.

“Selaku Timbalan Speaker, saya kesal perkara seperti ini boleh berlaku tetapi tidak mempunyai pilihan lain,” katanya.

-NFN-


Pengarang :