Khidmat sosial SAHABAT mendapat pengiktirafan pada sambutan Maal Hijrah 1435H | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Saiful Asraf

Khidmat sosial SAHABAT mendapat pengiktirafan pada sambutan Maal Hijrah 1435H

sahabatSHAH ALAM 7 NOV : Pertubuhan Sukarelawan Islam Hospital Selangor (SAHABAT) adalah pertubuhan berdaftar yang ditubuhkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit ketika menjalani rawatan serta pemulihan di hospital.

Pertubuhan itu mula menjalankan operasi kemasyarakatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, dan dilancarkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd, pada 26 Julai 2008.

Timbalan Yang DiPertua SAHABAT, Abdul Aziz Mohammad, berkata SAHABAT kini bergerak aktif di seluruh Selangor dengan menjalankan pelbagai aktiviti bagi memberi bantuan dalam kebajikan pesakit, waris dan penjaga terdekat ketika di hospital.


Katanya, SAHABAT juga berfungsi membantu meringankan beban tugas kakitangan hospital dan menjadi teman, pembimbing serta guru kepada pesakit yang memerlukan.

“Matlamat utama SAHABAT membantu dan memberikan sokongan serta menjaga keperluan sosial, kebajikan emosi juga kerohanian pesakit ketika mereka menjalani pemulihan program rawatan dan pemulihan di hospital.

“Selain itu, SAHABAT juga bertindak sebagai mentor kepada masyarakat dan ingin menjadi pemangkin ke arah hospital mesra pesakit,” katanya kepada portal Selangor Kini, hari ini.

Pertubuhan sukarelawan berkenaan dianugerahkan Anugerah Badan Dakwah Sukarela Terbaik 1435H pada sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, baru-baru ini.

Anugerah disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan diiringi Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

SAHABAT juga menjalankan kerjasama dengan beberapa NGO Islam dan bukan Islam serta badan agensi kerajaan juga swasta seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) serta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Abdul Aziz berkata, pertubuhan itu turut mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan (KOSWIP) serta orang perseorangan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat berkenaan SAHABAT boleh didapati di Unit Dakwah Hospital, Bahagian Pembangunan Insan MAIS.

-NFN-

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION