Selangorkini
SELANGOR

Kos bahan api dan selenggara 7 pesawat eksekutif cecah RM182 juta setahun

Anthony-LokeKUALA LUMPUR 7 NOV : Kerajaan Pusat didakwa terus bersikap boros apabila berbelanja hampir RM182 juta setahun untuk kos bahan api dan penyelenggaraan tujuh buah pesawat eksekutif (VVIP) dalam setiap urusan rasmi kerajaan.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berkata kos itu diperuntukkan untuk 372 penerbangan antarabangsa dan domestik dengan 339 destinasi berbeza bagi kegunaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2012.

Katanya, purata untuk setiap penerbangan dianggarkan mencecah RM489,000 sehari jika dibahagikan jumlah itu dalam tempoh setahun.

“Kenapa setiap kali Najib dan Muhyiddin mempunyai urusan luar, mereka perlu menggunakan pesawat eksekutif yang menelan kos begitu tinggi berbanding pesawat komersial bagi penerbangan kelas pertama yang lebih menjimatkan.

“Pemimpin kerajaan minta rakyat berjimat tetapi mereka sendiri gagal menunjukkan contoh yang baik untuk mengurangkan kos perbelanjaan,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

kapal terbang 1M najibAnthony juga tidak menolak kemungkinan pesawat itu digunakan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk tujuan kempen pilihan raya, sebelum ini.

Difahamkan, pesawat eksekutif itu merangkumi satu unit pesawat Boeing Business Jet (BBJ), Global Express (1), Falcon (1), Blackhawk (1), Agusta (2) dan Fokker F28 (1) yang sudah dilupus dan dihadiahkan kepada Muzium Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Terdahulu, Anthony mendedahkan sikap boros Najib dan Muhyiddin apabila bil elektrik di Kompleks Seri Perdana mencecah lebih RM2.2 juta, manakala RM300,000 dibelanjakan untuk bil air, pada 2012.

Bagi Kompleks Sri Satria pula lebih RM865,000 dibelanjakan untuk bil elektrik, mankala perbelanjaan bil air sebanyak RM99,264.

-NFN-


Pengarang :