Selangorkini
NASIONAL

Krisis kemanusiaan, kerajaan digesa boikot CHOGM

Oleh : Afeeqa Afeera,

chogm2013-logoKUALA LUMPUR, 12 NOV : Pakatan Rakyat (PR) menggesa Kerajaan Malaysia memboikot Persidangan Negara-Negara Komanwel (CHOGM) yang berlangsung di Sri Lanka minggu ini ekoran kegagalan negara itu bertanggungjawab daam pembunuhan puluhan ribu rakyatnya dalam perang saudara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus mencontohi tindakan beberapa negara lain seperti Kanada dan Kenya yang memboikot sidang itu sebagai tanda protes kerana ia mencabuli hak asasi manusia.

“Kerajaan boleh mencontohi negara-negara tersebut sebagai satu tanda bantahan ke atas kegagalan Sri Lanka untuk menunjukkan akauntabiliti ke atas pembunuhan berpuluh ribu rakyat mereka dalam perang saudara.

“PR gesa supaya Malaysia turut sama memboikot,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan wujud penindasan oleh Kerajaan Sri Lanka terhadap rakyat berbangsa Tamil yang beragama Hindu, Kristian dan Islam walaupun peperangan telah tamat bertahun yang lalu.

Dilaporkan, puluhan ribu etnik Tamil dibunuh secara kejam oleh tentera Sri Lanka termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak.

johari abdul parlimen 01Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, berkata beliau sepatutnya berlepas ke Colombo, Sri Lanka pada 8 November lalu bersama Ahli Parlimen Australia dan New Zealand untuk membuat tinjauan ke atas keadaan sosial rakyat di sana.

Namun, katanya, permohonan beliau untuk mendapatkan visa tiada jawapan meskipun ia dibuat pada 31 Oktober lalu dan pembayaran sejumlah 30 USD dibuat pada hari yang sama.

“Kedua-dua Ahli Parlimen dari Australia dan New Zealand selamat tiba di Colombo pada 8 November lalu dan selepas melawat beberapa tempat di Sri Lanka, mereka kemudiannya ditahan dan diusir keluar.

“Saya amat kesal dengan tindakan kerajaan Sri Lanka. Justeru, kita mohon agar Kerajaan Malaysia mempertimbangkan semula keputusan untuk menyertai mesyuarat CHOGM,” katanya yang juga Pengerusi Caucus Parlimen Malaysia Terhadap Kaum Tamil yang tertindas di Sri Lanka.

-EZY


Pengarang :