Selangorkini
SELANGOR

Mahasiswa bantah campur tangan pentadbiran dalam perjalanan Syura MPP UIAM

UIAM grafik

WUFI UIAM membantah keras campur tangan pihak Hal Ehwal Pelajar [HEP] yang diketuai oleh Timbalan Rektor HEP, Prof. Datuk Dr Mizan bin Hitam dan dibantu oleh staf HEP dan staf pejabat rektor di dalam mengendalikan sesi syura pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar [MPP] UIAM. Bantahan kami adalah berasaskan kepada fasal 49 [5] Perlembagaan UIAM yang menyebut bahawa :

“The SRC shall elect from among its members an SRC President, an SRC Vice-President, an SRC Secretary and SRC Treasurer, who shall be its only office-bearers, unless otherwise authorised in writing by Rector; the office-bearers so authorised by the Rector shall be elected by the SRC from the members of the SRC”

Di dalam peruntukan ini jelas menyebut bahawa hanya SRC [MPP] UIAM mempunyai kuasa penuh dalam menentukan perjalanan proses pemilihan “office-bearers” (mainboard) dalam kalangan mereka untuk meilih Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat, melainkan dengan adanya kebenaran bertulis daripada pihak Rektor.

Namun apa yang berlaku sekarang adalah, jelas sekali terdapat campur tangan oleh pihak HEP apabila proses perjalanan pemilihan dikendalikan serta dikawal sepenuhnya oleh mereka di dalam menentukan perlantikan Presiden dan Timbalan Presiden 1 MPP. Antara campur tangan yang dimaksudkan adalah :

1. Cara pengundian Presiden adalah mengikut apa yang telah ditentukan oleh Timbalan Rektor HEP. Bahkan lebih daripada itu, “secret ballot” yang dibekalkan yang sepatutnya kekal rahsia telah menjadi tidak rahsia lagi apabila setiap MPP telah dibekalkan kertas undi yang sedia tertera nama dan kuliah pengajian mereka di dalam kertas undi tersebut. Kertas undi baru hanya ditukar selepas didesak oleh MPP yang terbabit.

2. Timbalan Presiden 1 MPP [kerusi antarabangsa] hanya boleh diundi oleh MPP yang memenangi kerusi antarabangsa, dengan alasan ianya mengikut peraturan PRK yang hanya membenarkan kerusi antarabangsa hanya diundi oleh pelajar antarabangsa.

Peruntukan tersebut hanya terpakai dalam cara pemilihan calon antarabangsa tetapi tidak di dalam pemilihan office bearers. Kami membantah sekeras-kerasnya peraturan ini yang sememangnya terang-terangan bertentangan dengan peruntukan di dalam fasal 49 [5] Perlembagaan UIAM yang disebutkan sebentar tadi. Kami melihat bahawa ini adalah taktik bagi memberi kemenangan kepada calon pilihan pentadbiran.

3. HEP telah menukar kaedah undian daripada “secret ballot” kepada undian “angkat tangan” untuk mengundi Timbalan Presiden 1 dan 2. Persoalannya, mengapakah kaedah undian ini boleh berubah .

4. Kotak yang digunakan untuk mengumpul undi tidak dibenarkan untuk diperiksa oleh semua MPP yang hadir. Lebih teruk, kertas undi dikira di belakang pandangan MPP yang hadir!

5. Kami juga mempertikaikan mengapa pemerhati hanya dilantik dari kalangan pihak HEP dan juga staf pejabat rektor?
Mengapakah tiada langsung penglibatan pemerhati yang dilantik dari kalangan mantan MPP yang turut sama menjadi pemerhati di dalam perjalanan PRK yang lalu? Jika benar-benar perjalanan syura berlangsung dengan telus, mengapa perlu takut dengan keberadaan mantan MPP yang ada?

Berdasarkan asas-asas bantahan ini, kami menuntut agar syura dijalankan semula dengan telus dan tiada campur tangan dari pihak pentadbiran.

Kami akan menghantar satu memorandum kepada SUHAKAM pada hari Rabu ini bagi menyatakan bantahan dan mendesak agar siasatan segera dijalankan di atas isu yang berlaku ini.

Muhd Najib bin Abd Rahim
Pengerusi WUFI UIAM


Pengarang :