Malaysia berdepan saman jika TPPA dimeterai | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Admin Selangorkini

Malaysia berdepan saman jika TPPA dimeterai

tppaKUALA LUMPUR 7 NOV : Kerajaan Malaysia bakal berdepan risiko saman daripada firma gergasi jika berkeras melaksanakan penyelesaian pertikaian pelaburan negara (ISDS) dengan menandatangani rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah, berkata walaupun ramai berpendapat ISDS penting kerana digunapakai di banyak negara, namun mekanisma itu hanya menguntungkan pelabur asing dan menyebabkan pelabur tempatan jatuh ke kelas kedua.

Katanya, kerajaan disaran mewujudkan tabung khas jika Malaysia disaman syarikat gergasi berikutan kosnya yang tinggi, selain dinasihatkan bersedia menerima risiko pasca menandatangani TPPA.


“Ini adalah masalah serius jika perjanjian ini dimeterai tanpa mengetahui bebanan yang akan ditanggung negara dan menjejaskan generasi masa depan termasuk ekonomi Malaysia.

“Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sudah bertemu dengan pakar ISDS dan berpendapat kita tidak boleh terima tanpa teliti kandungan hitam putih setiap bab TPPA yang bakal ditandatangani Malaysia,” katanya pada sidang media di Parlimen, di sini, hari ini.

Katanya, PR tidak pernah menolak sebarang urusan perdagangan, namun pelaksanaan undang-undang itu bakal menjerut ramai pihak dan tidak harus diterima pakai.

Beliau berkata, TPPA harus dihentikan terutama apabila Amerika Syarikat didapati membuat intipan menggunakan kedutaan dan suruhanjaya tinggi mereka di Kuala Lumpur ke atas Malaysia.

“Kita mesti hentikan ini terutama selepas mendapat tahu apa yang dilakukan Amerika ke atas Malaysia dan kerajaan perlu dapatkan penjelasan.

“Malaysia perlu mencontohi Kesatuan Eropah yang menghentikan akses perbankan Amerika selepas mengetahui mereka menjalankan intipan ke atas negara itu,” katanya.

-NFN

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next

JOIN THE DISCUSSION