Selangorkini
SELANGOR

Malaysia wajar bina institusi pengajian tinggi sukan

Yunus HairiSHAH ALAM 8 NOV : Kerajaan pusat perlu mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) khusus untuk pembangunan sukan dalam usaha meningkatkan taraf profesionalisme ahli sukan atau atlet di Malaysia.

Exco Belia dan Sukan Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pembangunan institusi sukan secara terancang memberi peluang kepada atlet negara meneruskan pelajaran di peringkat tertinggi, sekali gus menjadikan sukan sebagai industri penting yang memberi keuntungan kepada negara.

Katanya, atlet juga dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam acara dan permainan diceburi secara lebih konsisten dengan kelengkapan fizikal dan saintifik yang lengkap melalui penubuhan IPT sukan itu.

“Kita juga dapat mendidik rakyat bahawa sukan bukan sahaja sekadar aktiviti sampingan tetapi membabitkan masa depan kerjaya yang baik dengan kelulusan sijil ditahap tinggi,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas usul yang dibentangkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencadangkan supaya kerajaan pusat mewujudkan kolej universiti sukan bagi melahirkan atlet yang bukan sahaja maju tetapi berintelektual tinggi di Dewan Rakyat, semalam.

Ahmad Yunus berkata, beliau turut mencadangkan kawasan Bukit Jalil dijadikan lokasi pembangunan IPT itu bagi mengurangkan kos pembinaan jika kerajaan pusat bersetuju.

“Mungkin pembangunan IPT pertama sukan negara juga boleh dibuat di Selangor selaku negeri yang menjadi tumpuan pembangunan di Malaysia. Kita juga mempunyai Stadium Shah Alam yang diiktiraf sebagai antara stadium terbaik di negara ini.

“Justeru, saya berharap kerajaan pusat dapat mempertimbangkan cadangan ini dan merealisasikannya, sekurang-kurangnya sebelum tahun 2020,” katanya.

-NFN


Pengarang :