SELANGOR

Mantan Timbalan Pengarah Pendidikan JAIS terima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Selangor 1435H/2013M

TOKOH MAAL HIJRAH - TUAN HAJI SIANID BIN MOKIMSHAH ALAM 5 NOV : Mantan Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Sianid Mokim dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435H/2013M peringkat negeri Selangor.

Sianid, 63, dilahirkan di Bukit Kuching, Kuala Selangor, pada 29 Ogos 1950 dan memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela, Jeram, manakala pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Jeram, sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Islam, Kota Bharu.

Beliau berkelulusan Diploma Syariah dan Undang-undang Yayasan Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri dan Ijazah Sarjana Muda Syariah daripada Universiti Al-Azhar, Mesir, pada 1977.

Sepanjang berkhidmat di JAIS, beliau adalah penulis buku teks SRA JAIS, buku teks sukatan Al-Azhar Sekolah Menengah dan penulis tafsir Al-Quran Bahasa Arab.

Kini, beliau masih aktif sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Ahli Jawatankuasa Khutbah Negeri Selangor dan Ahli Jawatankuasa Pelaksana KAFA negeri Selangor.

Anugerah berkenaan disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, YAM Tengku Sulaiman Shah ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Majlis Ambang Hijrah dan Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1435H di Masjid Negeri, Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pembesar negeri, EXCO Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) danlebih 1,000 hadirin.

Pada majlis itu, Sianid turut menerima wang tunai RM20,000 yang disumbangkan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi, serta pakej mengerjakan umrah.

-NFN-


Pengarang :