NASIONAL

Masyarakat Penan bantah pembangunan projek Empangan Murum

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR 20 NOV : Orang Asal Penan Murum, Sarawak mengadakan pertemuan bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bagi mendesak kawasan tanah asal mereka dikekalkan daripada dibangunkan untuk projek Empangan Murum.

Rombongan seramai 13 orang yang daripada lapan rumah panjang diketuai Penasihat Guaman Penan, Abun Sui Anyit itu tiba di Pejabat Ketua Pembangkang, tingkat 14, bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Mereka menyerahkan memorandum berkenaan yang diterima Ahli Parlimen Seremban, Antony Loke sambil diiringi Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

abunPeguam Abun Sui Anyit dalam kenyataannya mendesak kerajaan supaya berbincang dan memberikan surat jaminan sekurang-kurangnya kepada ketua rumah panjang.

Katanya, kumpulan minoriti seperti orang asal Penan seharusnya dilindungi dan tidak ditindas kerana membabitkan soal nyawa serta kedudukan tradisi mereka sejak sekian lama.

Sui Anyit berkata, Ahli Parlimen Hulu Rajang, Wilson Ugak Kumpong juga tidak prihatin dengan nasib masyarakat di sana dalam isu terbabit.

“Setakat ini tidak ada dokumen diberikan kepada orang Penan berkenaan apa yang dijanjikan kerajaan dan hanya meletakkannya dalam surat khabar, televisyen dan radio. Tidak ada dokumen terus yang diberikan kepada orang Penan.

“Sekurang-kurangnya berilah dokumen janji itu terutama pelan penempatan semula kepada setiap rumah panjang dan ketua kampung berkenaan apa yang kerajaan janjikan,” katanya.

Sebelum itu, rombongan terbabit menyerahkan memorandum di Bukit Aman bagi mendesak campur tangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar supaya menghentikan tindakan keras polis terhadap mereka.

Anthony-LokeSementara itu, Antony Loke berkata, polis tidak harus menggunakan kekerasan terhadap kumpulan itu sehingga ada anggotanya melepaskan tembakan ke udara.

“Tidak patut guna pendekatan keras kerana mereka adalah mangsa dalam isu pembangunan. Mereka hanya menuntut pampasan dan perlindungan, selain itu kita minta kerajaan ambil perhatian berkenaan perkara ini,” katanya.

Projek pembinaan Empangan Murum itu membabitkan syarikat Sarawak Energy Berhad (SEB) dan hampir 1,500 penduduk bakal kehilangan kediaman dan tanah adat yang diusahakan sejak sekian lama jika pembangunan itu diteruskan.

-NFN-


Pengarang :