Selangorkini
SELANGOR

MB beri jaminan tiada pemberhentian kakitangan SYABAS

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 02SHAH ALAM 7 NOV : “Tidak ada pemberhentian kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) jika proses pengambilalihan syarikat konsesi itu berjaya diselesaikan,” kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Abdul Khalid berkata, SYABAS hanya akan bertukar pentadbiran di bawah kerajaan negeri sahaja dan tidak membabitkan tenaga kerja syarikat itu.

“Satu perkara yang jelas tidak ada pemberhentian membabitkan tenaga kerja SYABAS, bermakna kakitangan akan terus bekerja tetapi di bawah pemilik yang lain, itu sahaja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Penghulu, Ketua Kampung Tradisi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, jika keputusan berkenaan syarat yang dikemukakan kerajaan negeri kepada SYABAS dipersetujui hujung tahun ini, proses pengambilalihan itu akan mengambil masa selama tiga hingga ke enam bulan.

Katanya, kerajaan negeri sudah menerima surat daripada kerajaan pusat yang menyatakan persetujuan pengambilalihan syarikat konsesi air terbesar di Selangor itu.

“Kita sudah menerima surat daripada kerajaan Persekutuan berkenaan perkara ini mesti diselesaikan, tetapi perbezaannya adalah duit sahaja, walaupun itu penting tetapi kesamaan pendapat sudah ada,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu adalah SYABAS, Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd, dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (SPLASH).

-NFN


Pengarang :