Selangorkini
SELANGOR

MB dedah ‘resepi’ kejayaan tingkat hasil dan rizab negeri

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 20 NOV: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendedahkan rahsia kejayaan Selangor meningkatkan hasil dan menambah rizab kepada RM2.76 bilion adalah dengan memperkemaskan kutipan cukai semasa serta tertunggak tinggalan Barisan Nasional(BN).

Kerajaan negeri mengambil langkah melaksanakan Operasi Bersepadu Mengutip Hasil Tanah dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, pejabat daerah, Pejabat Tanah dan Galian Selangor dan Bahagian Teknologi Maklumat, Setiausaha Kerajaan Negeri dalam operasi yang dinamakan Ops Kutip.

09Abdul Khalid (PKR-Pelabuhan Klang) berkata, kerajaan negeri turut memberi hadiah kepada agensi di bawahnya yang berjaya mengutip hasil cukai tertinggi dan dan bukannya dengan menaikkan cukai terhadap rakyat bagi tujuan itu.

“Dua minggu lalu, saya beri hadiah kepada pejabat daerah yang berjaya meningkatkan kutipan cukai tanah sehingga 95 peratus daripada hasil yang sepatutnya seperti Pejabat Daerah Gombak dan Pejabat Daerah Petaling,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (BN-Permatang), Sulaiman Abdul Razak.

Antara polisi yang diambil dalam Ops Kutip seperti memperkenalkan polisi mengetuk pintu bagi menghantar notis tuntutan dan surat peringatan, mengadakan siri perbincangan, memberikan peluang membayar secara ansuran berjadual serta konsisten, sebelum mengambil tindakan undang-undang jika penunggak tegar masih berdegil.

Pejabat Daerah dan Tanah juga berusaha meningkatkan kutipan cukai membabitkan kaedah mengenal pasti dan mengasingkan semua hak milik tertunggak yang bermasalah untuk diambil tindakan susulan, membuka kaunter kutipan luar pejabat di kawasan pendalaman, membuka kaunter pada waktu rehat serta menambahkan saluran atau kaedah bayaran atas talian juga pusat pembayaran di kaunter PBT.

Abdul Khalid berkata, langkah lain yang turut diambil adalah mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Tunai Kerajaan Negeri bagi memastikan pengurusan lebihan tunai dengan lebih efisyen dan memberi pulangan faedah yang optimum.

“Kalau dalu ketika pemerintahan BN boleh bina dua masjid tetapi hari ini dengan kos sama kita boleh bina tiga masjid yangberpunca daripada hasil penjimatan dan kutipan yang meningkat,” katanya.

-NFN-


Pengarang :