Selangorkini
SELANGOR

MB : Tawaran akhir ambil alih industri air RM9.65 bilion

OLEH : Norhayati Umor

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Selangor sudah mengeluarkan tawaran akhir untuk membeli empat syarikat konsesi air negeri itu pada jumlah RM9.65 bilion dalam satu surat tawaran yang dihantar kepada pengendali syarikat berkenaan semalam.

air-syabas_MBaEmpat syarikat konsesi terbabit adalah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, Konsortium Abbas Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd yang meliputi industri air di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata surat tawaran yang dihantar menerusi anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) perlu dijawab dalam masa 14 hari atau selewat-lewatnya pukul 5 petang pada 4 Disember.

Katanya, KDEB turut menetapkan ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air yang memberi pulangan sebanyak 12 peratus dikira sehingga 31 Disember 2012, tidak dikompaun dan dengan potongan bagi mana-mana pembayaran dividen yang terdahulu, akan dibeli kerajaan negeri.

“Tawaran itu juga menyatakan bahawa KDEB akan menyelesaikan semua hutang berkaitan air tertunggak oleh empat syarikat termasuk bon dan pinjaman komersial serta pinjaman kerajaan yang berkaitan.

“Jika pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut merasakan mereka berhak mendapat jumlah lebih daripada yang ditawarkan, mereka boleh meminta perkara itu untuk dibawa ke timbang tara antarabangsa,” katanya.

Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri memutamadkan tawaran itu ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri KeTTHA, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyatakan sokongan untuk menyatukan industri air di negeri terbabit menerusi surat yang dihantar pada Jun dan September lalu.

“Tawaran terakhir itu adalah hasil daripada beberapa siri perbincangan antara kerajaan negeri dengan Kementerian Tenaga, Tenaga Hijau dan Air (KeTTHA) demi kepentingan menubuhkan industri air secara holistik di Selangor.

“Kami berharap boleh memecahkan kebuntuan rundingan kerana Kerajaan Negeri sudah bersedia dengan rancangan pengambilalihan ini,” katanya.

Abdul Khalid turut berharap pemegang saham keempat-empat syarikat tersebut dapat menerima tawaran yang dilihat akan memberi pulangan menguntungkan.

Katanya, satu siasatan menyeluruh dan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat konsesi tujuh hari dari tarikh penerimaan tawaran itu.

“Kerajaan Negeri Selangor komited untuk menubuhkan industri air secara holistik bagi menyediakan perkhidmatan yang cekap pada tarif yang berpatutan kepada lebih 5 juta pengguna air di Selangor , Putrajaya dan Kuala Lumpur,” katanya.

-EZY


Pengarang :