Selangorkini
SELANGOR

MBPJ arah tutup segara tapak buang sampah haram

OLEH : Asri Sapfie,

PETALING JAYA, 13 NOV : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengarahkan sebuah tapak pembuangan sampah sisa domestik ditutup serta-merta di kawasan PJS 5 yang melakukan pembuangan sampah haram sejak lebih tiga bulan lalu.

DSC_0268aAdun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata beliau mengharapkan orang awam memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya masih terdapat aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu.

Katanya, beliau mengemukakan isu ini kepada Jawatankuasa Tindakan Daerah dan pihak yang terbabit untuk diambil tindakan segera.

“Namun melalui maklumat baru yang kami terima, aktiviti pembuangan sampah haram dilaporkan semakin giat dijalankan semula di kawasan ini,” kata Nik Nazmi ketika turun padang bagi melihat sendiri keadaan kawasan tersebut.

Nik Nazmi berkata, penduduk setempat mengadu kegiatan pembuangan sampah haram lebih banyak dilakukan pada hari biasa dan ini menyebabkan jalan utama sesak disebabkan lori-lori yang banyak keluar masuk.

DSC_0253aKatanya, tindakan tidak bertanggungjawab itu juga mengundang bahaya bagi pengguna jalan raya yang lain.

“Penduduk setempat bimbang berikutan kes denggi yang dilaporkan semakin meningkat di kawasan itu di samping berlakunya pencemaran semakin serius,” kata Nik Nazmi.

Penolong Pengarah Penguatkuasa MBPJ, Khai Johari Jamaludin, berkata pihak MBPJ akan memantau sebarang aktiviti yang berlaku di kawasan itu dari semasa ke semasa.

“Sekiranya mereka bertegas untuk meneruskan aktiviti mereka, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan lebih serius kepada mereka yang terlibat seperti kompaun dan sita.

“Pemilik kawasan ini perlu hadir ke MBPJ bagi proses permohonan permit dan mereka perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak MBPJ supaya tidak terjadi isu-isu pencemaran dan sebagainya,” kata Khai Johari.

EZY


Pengarang :