SELANGOR

MBPJ lancar COMBI didik masyarakat perangi Aedes

NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 10 NOV: Serentak dengan Program Gempur Aedes 2013 yang diadakan di seluruh Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini melancarkan program Strategi Mobilisasi Sosial dan Komunikasi (COMBI) bagi memupuk kesedaran kepentingan persekitaran bebas nyamuk aedes di kalangan masyarakat Petaling Jaya.

Program yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, MBPJ akan menggerakkan pelbagai sektor komuniti bagi menangani isu kesihatan dalam komuniti, mewujudkan rasa tanggungjawab bersama dan mempengaruhi  orang ramai untuk mengukuhkan tinggah laku sihat dalam komuniti.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata menjaga kebersihan bukanlah terletak di bawah tanggungjawab MBPJ sahaja tetapi masyarakat turut memikul peranan sama.

“Orang ramai juga harus menjaga premis kediaman atau kedai masing-masing, memastikan tiada tempat air bertakung untuk mengelakkan pembiakan nyamuk aedes.

“Kerjasama orang ramai sebenarnya bukan sahaja membantu diri sendiri, keluarga dan jiran-jiran mereka menyelamatkan nyawa sahaja tetapi juga membantu PBT menjimatkan kos,” katanya dalam program Gotong-Royong Selangorku; Program Gempur Aedes 2013 di sini.

Program Gotong-royong Selangorku diadakan serentak di seluruh Selangor hari ini dan merupakan sebahagian  agenda Program Gempur Aedes Selangor yang diadakan  sebulan bermula 1 November lalu.

EZY


Pengarang :