Selangorkini
SELANGOR

MBSA gesa peniaga Seksyen 2 jaga kebersihan premis

Peniaga Seksyen 2 MBSA 01SHAH ALAM 4 NOV : Peniaga di Medan Selera Prima Dua, di sini, dinasihatkan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman selain mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata arahan itu adalah untuk memastikan medan selera itu sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga kerana dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, perkara itu juga sering dimaklumkan kepada peniaga termasuk pihak Konsortium Permodalan Shah Alam Sdn Bhd dari semasa ke semasa.

“Syarat dan peraturan ini bukan untuk menyusahkan peniaga tetapi bagi memastikan medan selera ini sentiasa terjaga kerana menjadi tumpuan ramai, khususnya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang datang dari seluruh pelusuk negara.

“Saya minta semua pihak termasuk peniaga dan konsortium bekerjasama dengan MBSA bagi memastikan gerai berada dalam keadaan selesa,” katanya menerusi kiriman sistem pesanan ringkas (SMS) berhubung keluhan peniaga di medan selera itu, baru-baru ini.

Terdahulu, MBSA dalam satu operasi bersepadu bertindak merampas dan mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan kebersihan premis makanan.

Selain arahan penutupan premis, MBSA turut merampas kerusi, meja, payung, tempat pemanggang dan dapur memasak kerana meletakkan barang terbabit di luar kawasan premis.

Sementara itu, Shahrin berkata, pihaknya akan membincangkan dengan lanjut terhadap dakwaan peniaga berhubung saman tanpa notis ke atas pemasangan papan iklan di premis berkenaan, sebelum tindakan diambil.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama pihak konsortium untuk mendapatkan penjelasan sebelum tindakan selanjutnya diambil pihak MBSA,” katanya.

-NFN-


Pengarang :