Selangorkini
SELANGOR

Media BN sembunyi isu Kampung Chubadak, riuh isu binaan haram Serdang Perdana

tian chua pc pkr 01

SHAH ALAM 2 NOV: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua kesal dengan tindakan media arus perdana yang cuba mengaitkan isu perobohan struktur haram milik peniaga di Serdang Perdana dengan isu perkauman.

Beliau berkata, selain dipercayai bagi menjejaskan imej Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR), tindakna itu juga mampu menggugat keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia.

Tian Chua menegaskan, media arus perdana didapati cuba menyembunyikan isu perobohan rumah di Kampung Chubadak, Kuala Lumpur, baru-baru ini, kerana bimbang menjejaskan imej kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Isu di Serdang Perdana ini sengaja disensasikan dengan perspektif perkauman untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan Selangor, tetapi nasib penduduk Kampung Chubadak langsung tidak disentuh,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bertindak merobohkan binaan haram sebuah restoran selepas mendapat aduan daripada orang awam, di Serdang Perdana, pada 28 Oktober lalu.

Binaan haram yang disewakan kepada peniaga warga asing itu didapati terletak berhampiran pusat membeli-belah dan laluan utama sehingga menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya serta pejalan kaki di kawasan itu.

Mengulas isu Kampung Chubadak, Tian Chua memberitahu ketika ini pihaknya sedang memantau perkembangan kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan rumah penduduk Kampung Chubadak.

Katanya, dua buah rumah sudah dirobohkan minggu lalu, manakala kira-kira 200 buah rumah lain dijangka bakal mengalami nasib sama.

Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR berkata, DBKL seharusnya mengadakan perbincangan dengan penduduk untuk menentukan tempoh perpindahan dan nilai pampasan yang sewajarnya.

“Sehingga kini, DBKL masih belum menjawab persoalan yang dibangkitkan termasuk tidak memberitahu pemaju yang bakal memajukan kampung terbabit,” katanya.

-NFN-


Pengarang :